Ujian Dari Allah Buat Hambanya
Hari terus berganti hari. Kehidupan
manusia juga terus berjalan pantas seiring dengan masa yang pantas berlari. Di
celah-celah hari berwarna-warni yang di jalani dan ditelusuri,
tanpa disedari atau tidak, manusia sebenarnya telahpun menempuh
pelbagai ujian dan dugaan duniawi. Ujian-ujian yang diberi oleh Allah itu
datang menyapa silih berganti dalam pelbagai bentuk dan rupa. Setiap orang
diuji olah Allah berbeza-beza mengikut tahap kemampuannya.
“ Allah tidak membebani seseorang
melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang
diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
ALLAH telah menyatakan dengan jelas
di dalam Al-Quran bahawa DIA tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan
hambaNya. ALLAH mengetahui kita kuat dalam menghadapi ujianNya, oleh
kerana itu ALLAH memberikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini
kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya ALLAH kepada kita sebagai hambaNya.
ALLAH menguji seseorang bukan kerana ALLAH benci kepada kita tetapi percayalah
ALLAH menguji kita kerana DIA sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai
hambaNya, adakala tidak mampu bertahan dan bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Hakikatnya saat ini, saat kita
sedang mengecapi bahagia, ada berjuta manusia di luar sana yang sedang dihujani
ujian atau dihimpit pelbagai derita. Ada di kalangan manusia di luar sana
yang saat ini sedang diuji dengan kehilangan orang tersayang. Tidak kurang juga
ada manusia yang diuji apabila apa yang diingini dan diharapkan tidak terjadi
dan diberi.
“ Kenapa aku yang diuji ? “
“ Mengapa aku diuji sebegini ?”
“ Ujian ini sangat berat. Aku tak
mampu…”
Mungkin ini adalah antara persoalan
dan keluhan yang meniti di bibir atau berlegar di fikiran kita sebagai seorang
hamba saat dihimpit dengan secebis ujian. Kadangkala tanpa sedar dan niat
kita juga terlanjur marah pada DIA kerana menghujani kita dengan
pelbagai ujian.
Tetapi, apabila kita menenangkan
diri dan bermuhasabah kembali, tenyata sebenarnya dengan ujian yang
diberi kita adalah hamba yang beruntung . Mengapa saya katakan begitu? Kerana
ujian hanyalah diberi oleh Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih.
Hamba-hambanya yang dikasihi dan disayangiNya. Dan jangan kita lupa bersama
ujian itu juga ada pertolongan dari Allah sepertimana yang dinyatakan di dalam
Al-Quran:
Adakah patut kamu menyangka bahawa
kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu?
mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit,
serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan
orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan
Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). ( Al-Baqarah: 214)
Sebagai manusia biasa, kita
pastinya tidak akan mampu menjangka bilakah ujian itu akan muncul tiba.
Walaubagaimanapun, jika kita mengetahuinya, apalah kudrat kita sebagai seorang
hamba yang kerdil lagi penuh dosa untuk menolak ujian-ujian yang bakal
menyapa itu. Jika direnungkan kembali, kita semua pastinya pernah dan
akan ditimpa ujian dari yang Maha Esa, tetapi saat ujian itu tiba, mampukah
kita menjadi manusia yang bersyukur dengan ujian itu dan memandangnya sebagai
hadiah pemberian Allah?
Manusia itu sifatnya pelupa, Ada
masanya dalam melayari kehidupan di dunia, kita lalai dan leka pada hakikat
yang nyata bahwa kita hanyalah hamba DIA yang Esa. Jadi apakah sebenarnya yang
mampu membangkitkan manusia dari kelalaian dan kealpaan ini? UJIAN. Ya, Ujian.
Ujian atau mehnah yang menjengah dalam kehidupan kita itulah sebenarnya yang
mampu mengejutkan kita dari mimpi dunia yang panjang.
Allah Tuhan yang Maha Mengetahui.
Mungkin tanpa ujian-ujian dan dugaan yang dikirimkan khas oleh DIA untuk kita,
kita masih lagi menjadi seorang hamba yang hanyut dan lemas dalam lautan
kelalaian. Apa yang paling utama sebenarnya adalah “ hadiah ” itu dikirimkan
oleh Allah bertujuan untuk menilai sejauh mana keimanan kita terhadapNya
sepertimana yang dijelaskannya di dalam Al-Quran:
Patutkah manusia menyangka bahawa
mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak
diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al-Ankabut: 2)
Justeru, marilah kita sama-sama
bermuhasabah dan menilai kembali segala prasangka buruk yang mungkin pernah
bermain di fikiran kita saat kita diuji. Inilah saatnya bagi kita, saya dan
anda yang sedang membaca, merubah fikiran kita dan mula memandang ujian-ujian
yang telah dan akan kita lalui sebagai sebuah ‘ hadiah’ dari Allah dan bukan
lagi satu bebanan. Apabila kita benar-benar menyedari hakikat ini, maka kita
akan menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan segala ujian yang diberi.
Pembaca yang dikasihi oleh Allah,
Jika anda saat ini sedang diuji,
ingin saya sampaikan sesungguhnya bersyukur dan berbahagialah anda kerena
“UJIAN
ITU HADIAH DARI ALLAH SWT”
0 Response to "Ujian Itu Hadiah Dari Allah Swt"
Posting Komentar